Sunday, 18 December 2016

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini antara fungsi utama industri pelancongan adalah untuk menuju pembangunan pesat dalam ekonomi negara.

Pengaliran Wang Asing

            Dengan peningkatan pelancong saban tahun ke Malaysia, ia dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara di mana pelancong dari luar negara akan menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia (RM) untuk berbelanja di Malaysia dan mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara.

            Jumlah pendapatan negara melalui pertukaran wang asing telah meningkat daripada RM132 juta pada tahun 1970 kepada RM545 juta pada tahun 1980. (Unit Perancang Ekonomi, 1981). Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion (Salehen Sidek 2010). Pengaliran wang asing ini penting dan ianya terbukti apabila Malaysia menghadapi krisis kewangan, dengan peningkatan kemasukan pelancong telah memulihkan keadaan ini. United Nations World Tourism Organization telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-9 bagi ketibaan pelancong dan tempat ke-13 dari sudut pendapatan. Pada tahun 2010, Jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada RM59.2 bilion. (Laporan ekonomi 2010/2011)

 Dapat Memajukan Bidang Perniagaan Di Malaysia

            Pelancong yang melancong semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat penginapan, makanan dan minuman. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Seperti mana yang dilihat di Malaysia telah banyak pusat penginapan yang menjadi tumpuan pelancong tidak kira dalam negara mahupun luar negara dan masyarakat sekitar kawasan yang menarik dijadikan pusat pelancongan akan berpeluang menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli dan telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011) Hal ini secara tidak langsung mencapai sasaran kerajaan dalam DEB.

            Selain itu, keunikan dan kepelbagaian makanan yang berlainan bagi setiap negeri merupakan penarik utama bagi pelancongan. Ianya tidak dinafikan juga terdapat pelancong dalam negara juga sanggup untuk melancong untuk merasai makanan bagi setiap negeri. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain-lain.

Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Luas

            Perkembangan yang mampan dalam industrI pelancongan ini juga akan membawa kepada kewujudan lebih banyak penginapan, restoran atau gerai-gerai makanan, perkhidmatan pemandu pelancong dan banyak lagi yang membawa kepada lambakan peluang pekerjaan untuk masyarakat. Sepertimana yang diketahui, industri pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan.

            Tenaga yang terlibat secara langsung dalam industri perhotelan telah meningkat dari 25,170 pada tahun 1985 kepada 39,960 pada tahun 1990 dengan mewujudkan tambahan pekerjaan sebanyak 14,790. Bilangan agensi pelancongan juga bertambah dari 611 pada tahun 1985 kepada 1,545 pada tahun 1990. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 8,330 lesen telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa (Laporan ekonomi 2010/2011). Datuk Seri Najib Razak juga menyatakan sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia dengan industri itu dengan mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan. (Berita Harian Online, 2015). Seterusnya, hal ini akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

 Pengangkutan Dan Perhubungan

            Dari aspek pengangkutan dan perhubungan pula, Malaysia sudah mempunyai beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang turut membantu mempromosikan pelancongan negara seperti syarikat penerbangan Firefly, Air Asia, dan MAS yang menawarkan perkhidmatan tambang murah (Amal Hayati Ishak et all 2010) Hal ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia sendiri untuk pergi melancong ke destinasi pilihan domestik di samping dapat mengurangkan pengaliran keluar matawang negara.

Sukan Dan Rekreasi

            Dari segi sukan dan rekreasi, sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1(F1) di litar Sepang dan Sukan Komanwel 1998, ia dapat mempopularkan negara Malaysia dikalangan peminat sukan dunia. Selain itu, ia dapat membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan Malaysia dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.
 Menarik Minat Pelabur Asing

            Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal dan melabur di dalan negara. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengann aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat membeli-belah dan sebagainya malahan, dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Apabila pelabur luar melabur dan menanam modal dalam negara ianya dapat membantu kerajaan dalam mengeluarkan belanja yang besar untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang akan menelan belanja yang agak tinggi.


No comments:

Post a Comment