Sunday, 18 December 2016

PENGENALAN


Pelancongan merupakan antara industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar samada dalam bentuk tukaran asing dan meletakkan nama Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (dalam dan luar negara) telah berkunjung ke Malaysia dan telah menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada tukaran wang asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropikal indah yang sangat berpotensi di Asia serta bukan sahaja dapat menarik minat pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan untuk melawat tempat-tempat menarik di Malaysia. 

         Pelancongan menjadi satu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan. Kesemuanya berperanan sebagai sumber dalam pembangunan Malaysia menuju ke arah negara maju dalam abad ini. Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang bakal melawat Malaysia.

INDUSTRI PELANCONGAN


            Di Malaysia, industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 60-an. Industri pelancongan tidak di anggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah menjadi keutamaan negara. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif. Antaranya peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.

            Kini, Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai antara destinasi pelancongan utama dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi negara.

            Pelancongan merujuk kepada dua iaitu pelancongan untuk berhibur dan pelancongan untuk perniagaan. Ia merangkumi subsektor seperti penginapan, membeli-belah, produk pelancongan (iaitu eko-pelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan), makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri dan pengangkutan domestik.

            Malaysia mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan namanya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan sudah sememangnya besar dan telah berkembang dengan pantas untuk tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara.


TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN


            Pada ketika zaman pasca kemerdekaan negara Malaysia, industri pelancongan kurang diberi perhatian atau penekanan oleh pihak kerajaan kerana kerajaan lebih menumpukan terhadap pembangunan infrastruktur negara dan kestabilan negara. Ketika itu juga kerajaan lebih menumpukan sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah yang menjadi hasil utama dan kerajaan tidak sedar akan peranan industri pelancongan juga akan membawa kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Walaubagaimanapun, industri pelancongan di Malaysia telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an dengan kewujudan Penubuhan Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.

            Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana pada ketika itu negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara (Azizan Marzuki, 2010).

            Kejayaan pembangunan dalam industri pelancongan dapat dilihat melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat. Malah, sumbangannya masih terus meningkat lagi selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara dan seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pada tahun yang sama juga kerajaan telah mengambil inisiatif dalam mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas seperti menaiktaraf jeti, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang kian bertambah. (Unit Perancang Ekonomi, 1991).

            Menurut petikan dari MStar (2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong asing sepanjang tahun 2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada 2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 1.2% dengan jumlah sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.

            Purata kedatangan pelancong ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan walaupun terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa sedih yang menimpa Malaysia adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya yang berlaku.

            Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang kelima terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri pelancongan Malaysia masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini antara fungsi utama industri pelancongan adalah untuk menuju pembangunan pesat dalam ekonomi negara.

Pengaliran Wang Asing

            Dengan peningkatan pelancong saban tahun ke Malaysia, ia dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara di mana pelancong dari luar negara akan menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia (RM) untuk berbelanja di Malaysia dan mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara.

            Jumlah pendapatan negara melalui pertukaran wang asing telah meningkat daripada RM132 juta pada tahun 1970 kepada RM545 juta pada tahun 1980. (Unit Perancang Ekonomi, 1981). Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion (Salehen Sidek 2010). Pengaliran wang asing ini penting dan ianya terbukti apabila Malaysia menghadapi krisis kewangan, dengan peningkatan kemasukan pelancong telah memulihkan keadaan ini. United Nations World Tourism Organization telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-9 bagi ketibaan pelancong dan tempat ke-13 dari sudut pendapatan. Pada tahun 2010, Jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada RM59.2 bilion. (Laporan ekonomi 2010/2011)

 Dapat Memajukan Bidang Perniagaan Di Malaysia

            Pelancong yang melancong semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat penginapan, makanan dan minuman. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Seperti mana yang dilihat di Malaysia telah banyak pusat penginapan yang menjadi tumpuan pelancong tidak kira dalam negara mahupun luar negara dan masyarakat sekitar kawasan yang menarik dijadikan pusat pelancongan akan berpeluang menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli dan telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011) Hal ini secara tidak langsung mencapai sasaran kerajaan dalam DEB.

            Selain itu, keunikan dan kepelbagaian makanan yang berlainan bagi setiap negeri merupakan penarik utama bagi pelancongan. Ianya tidak dinafikan juga terdapat pelancong dalam negara juga sanggup untuk melancong untuk merasai makanan bagi setiap negeri. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain-lain.

Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Luas

            Perkembangan yang mampan dalam industrI pelancongan ini juga akan membawa kepada kewujudan lebih banyak penginapan, restoran atau gerai-gerai makanan, perkhidmatan pemandu pelancong dan banyak lagi yang membawa kepada lambakan peluang pekerjaan untuk masyarakat. Sepertimana yang diketahui, industri pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan.

            Tenaga yang terlibat secara langsung dalam industri perhotelan telah meningkat dari 25,170 pada tahun 1985 kepada 39,960 pada tahun 1990 dengan mewujudkan tambahan pekerjaan sebanyak 14,790. Bilangan agensi pelancongan juga bertambah dari 611 pada tahun 1985 kepada 1,545 pada tahun 1990. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 8,330 lesen telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa (Laporan ekonomi 2010/2011). Datuk Seri Najib Razak juga menyatakan sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia dengan industri itu dengan mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan. (Berita Harian Online, 2015). Seterusnya, hal ini akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

 Pengangkutan Dan Perhubungan

            Dari aspek pengangkutan dan perhubungan pula, Malaysia sudah mempunyai beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang turut membantu mempromosikan pelancongan negara seperti syarikat penerbangan Firefly, Air Asia, dan MAS yang menawarkan perkhidmatan tambang murah (Amal Hayati Ishak et all 2010) Hal ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia sendiri untuk pergi melancong ke destinasi pilihan domestik di samping dapat mengurangkan pengaliran keluar matawang negara.

Sukan Dan Rekreasi

            Dari segi sukan dan rekreasi, sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1(F1) di litar Sepang dan Sukan Komanwel 1998, ia dapat mempopularkan negara Malaysia dikalangan peminat sukan dunia. Selain itu, ia dapat membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan Malaysia dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.
 Menarik Minat Pelabur Asing

            Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal dan melabur di dalan negara. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengann aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat membeli-belah dan sebagainya malahan, dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Apabila pelabur luar melabur dan menanam modal dalam negara ianya dapat membantu kerajaan dalam mengeluarkan belanja yang besar untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang akan menelan belanja yang agak tinggi.


HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN


            Antara cabaran yang dihadapi adalah wujudnya persaingan dalam industri pelancongan dengan negara-negara lain di mana negara tersebut juga sedar akan kepentingan sesebuah industri pelancongan untuk negara. Setiap negara mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadi pusat tarikan masing-masing termasuklah pusat membeli-belah, makanan, tempat, keindahan alam semulajadinya dan lain-lain lagi. Justeru itu, kreativiti sesebuah negara dalam mempromosikan negara masing-masing adalah amat penting untuk menarik minat para pelancong dan menjadikan Malaysia menjadi destinasi utama pelancongan. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong datang ke Malaysia.

Ketidakstabilan Politik

            Kestabilan politik sesebuah negara amat memainkan peranan dan sekiranya kestabilan politik ini tidak dapat dicapai, ia juga akan memberi impak yang besar kepada negara termasuklah pelaburan, perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan yang dirancang juga akan terganggu.

            Selain itu, ketidakstabilan politik juga menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan melancong ke negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain. Sebagai contoh ialah rusuhan atau peperangan yang berlaku di sesebuah negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke negara tersebut. Imej buruk negara juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh yang lama walaupun kestabilan politik telah dicapai disebabkan imej buruk yang telah terjejas. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.

 Pencemaran Alam Sekitar

            Alam sekitar merupakan elemen yang penting dalam industri pelancongan kerana kebanyakan pelancong akan melancong ke negara ini disebabkan oleh keindahan alam semulajadinya. Tidak bermaknalah jika negara mempunyai banyak keindahan alam yang boleh dikunjungi tetapi berlakunya pencemaran tersebut yang mencacatkan keindahan tersebut secara langsung memberi imej yang negatif kepada negara. Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebersihan alam sekitar bagi menarik lebih ramai pelancong dan menjaga imej sesebuah negara. Tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak kerajaan atau pihak yang berkenaan sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang alam sekitar untuk kebaikan bersama.

Pengaruh Gejala Sosial Dan Kemasukan Budaya Dari Luar

            Kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh masyarakat dalam negara juga merupakan salah satu faktor yang akan menggugat kemajuan industri pelancongan negara. Remaja hari ini beranggapan bahawa budaya daripada nenek moyang adalah budaya lapuk yang tidak perlu diingati dan diikuti oleh mereka. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai kebudayaan yang tidak sama di negara mereka.

            Isu moral pelancong asing yang masuk ke dalam negara sebenarnya adalah satu cabaran baru industri pelancongan Malaysia. Kes-kes seperti pelancong asing berjemur di pantai tanpa berpakaian dan separuh bogel adalah salah satu cabaran dan masalah sosial yang akan menjadi ikutan para remaja. Begitu juga dengan kes di mana pelancong menanggalkan pakaian dan berbogel di puncak Gunung Kinabalu. Ia tidak seharusnya terjadi kerana boleh menyebabkan keruntuhan moral dikalangan masyarakat di Malaysia.

Ancaman Keselamatan


            Peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang turut memberi impak negatif terhadap industri pelancongan negara kerana kebimbangan pelancong terhadap jaminan keselamatan mereka. Kehilangan pesawat MH370 dan kemalangan ke atas pesawat MH17 pada tahun 2014, sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pelancongan negara. Ia di tambah lagi dengan kewujudan militan Daish yang semakin berleluasa di negara ini dan menyebabkan ancaman keselamatan terhadap pelancong asing untuk datang melancong ke negara Malaysia.

SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN


            Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun.  Ahli-ahli Lembaga Pengarah adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan.

            Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.

            Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran.

            Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi   yang   lengkap   dan   meluas.

            Penganjuran sukan  bertaraf  antarabangsa dapat memperkenalkan  negara 
kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan.

            Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja. Dengan   cara   ini,   kita   dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.

            Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Secara keseluruhunnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.

            Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti F1 dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor eko-pelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Konklusinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaitu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.

            Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.

            Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.

            Pembangunan dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.

            Selain daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan, juga terdapat pihak swasta yang memainkan peranan penting untuk bersama-sama mempromosikan Malaysia di mata dunia. Contohnya Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia. Mereka sering mempromosi harga tiket yang murah untuk menarik minat pelancong (dalam dan luar negara) untuk datang melancong dan menikmati keindahan Malaysia.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Antara langkah-langkah yang dapat diambil ialah:-

Melengkapkan Kemudahan Dan Prasarana Pengangkutan

            Kerajaan perlu melengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara Malaysia sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Faktor utama pelancong datang ke sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar melengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju.

 Kemudahan Penginapan Yang Selesa
            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, bekalan air bersih dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negara Malaysia. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di  negara ini. Sekaligus membolehkan negara memperoleh lrbih banyak mata wang asing.

Maklumat Lengkap Tentang Sesuatu Destinasi 

            Kerajaan perlu menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baru yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan samada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen serta sosial media. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing seperti mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara pada dinding 60 buah bas di kota London.

 Langkah-Langkah Keselamatan

            Langkah-langkah keselamatan   juga   perlu   diambil   bagi   menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Oleh itu, pihak berautoriti perlulah  menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan terjamin.

Mengadakan Pelbagai Aktiviti Yang Menarik

            Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA). Kejohanan kereta F1 dan kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.