Sunday 18 December 2016

SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN


            Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun.  Ahli-ahli Lembaga Pengarah adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan.

            Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.

            Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran.

            Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi   yang   lengkap   dan   meluas.

            Penganjuran sukan  bertaraf  antarabangsa dapat memperkenalkan  negara 
kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan.

            Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja. Dengan   cara   ini,   kita   dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.

            Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Secara keseluruhunnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.

            Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti F1 dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor eko-pelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Konklusinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaitu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.

            Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.

            Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.

            Pembangunan dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.

            Selain daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan, juga terdapat pihak swasta yang memainkan peranan penting untuk bersama-sama mempromosikan Malaysia di mata dunia. Contohnya Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia. Mereka sering mempromosi harga tiket yang murah untuk menarik minat pelancong (dalam dan luar negara) untuk datang melancong dan menikmati keindahan Malaysia.


No comments:

Post a Comment