Di Malaysia, industri pelancongan
mula muncul pada akhir tahun 60-an. Industri pelancongan tidak di anggap
sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga tahun 1970 kerana pada masa itu,
sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah menjadi keutamaan
negara. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri
pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif. Antaranya peningkatan pendapatan
dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan,
menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil
kerajaan.
Kini, Malaysia diiktiraf pada peringkat
antarabangsa sebagai antara destinasi pelancongan utama dengan kedudukan di
antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi
penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting
kepada ekonomi negara.
Pelancongan merujuk kepada dua iaitu
pelancongan untuk berhibur dan pelancongan untuk perniagaan. Ia merangkumi subsektor
seperti penginapan, membeli-belah, produk pelancongan (iaitu eko-pelancongan,
pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan
kesejahteraan), makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri dan
pengangkutan domestik.
Malaysia mempunyai kedudukan
permulaan yang kukuh untuk melonjakkan namanya menjadi destinasi pelancongan
yang utama. Industri pelancongan sudah sememangnya besar dan telah berkembang dengan
pantas untuk tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing
global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan
sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment