Sunday, 18 December 2016

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Antara langkah-langkah yang dapat diambil ialah:-

Melengkapkan Kemudahan Dan Prasarana Pengangkutan

            Kerajaan perlu melengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara Malaysia sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Faktor utama pelancong datang ke sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar melengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju.

 Kemudahan Penginapan Yang Selesa
            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, bekalan air bersih dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negara Malaysia. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di  negara ini. Sekaligus membolehkan negara memperoleh lrbih banyak mata wang asing.

Maklumat Lengkap Tentang Sesuatu Destinasi 

            Kerajaan perlu menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baru yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan samada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen serta sosial media. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing seperti mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara pada dinding 60 buah bas di kota London.

 Langkah-Langkah Keselamatan

            Langkah-langkah keselamatan   juga   perlu   diambil   bagi   menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Oleh itu, pihak berautoriti perlulah  menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan terjamin.

Mengadakan Pelbagai Aktiviti Yang Menarik

            Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA). Kejohanan kereta F1 dan kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.


No comments:

Post a Comment