Pada ketika zaman pasca kemerdekaan
negara Malaysia, industri pelancongan kurang diberi perhatian atau penekanan
oleh pihak kerajaan kerana kerajaan lebih menumpukan terhadap pembangunan
infrastruktur negara dan kestabilan negara. Ketika itu juga kerajaan lebih
menumpukan sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah yang menjadi hasil
utama dan kerajaan tidak sedar akan peranan industri pelancongan juga akan
membawa kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Walaubagaimanapun,
industri pelancongan di Malaysia telah mula dilihat mengalami perkembangan
positif pada era tahun 70an dengan kewujudan Penubuhan Perbadanan Pelancongan
Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Persidangan
Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.
Sektor
pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana pada
ketika itu negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar.
Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan.
Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan
tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara
(Azizan Marzuki, 2010).
Kejayaan
pembangunan dalam industri pelancongan dapat dilihat melalui kejayaan Tahun
Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) terus meningkat. Malah, sumbangannya masih terus meningkat lagi selepas
kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran
masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara dan
seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pada tahun yang sama juga kerajaan
telah mengambil inisiatif dalam mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas
seperti menaiktaraf jeti, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan
pelancong asing yang kian bertambah. (Unit Perancang Ekonomi, 1991).
Menurut
petikan dari MStar (2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong
asing sepanjang tahun 2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada
jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada
2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012,
Malaysia mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 1.2% dengan
jumlah sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.
Purata
kedatangan pelancong ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan walaupun
terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di Malaysia seperti wabak
penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa sedih yang menimpa Malaysia adalah
berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 serta kemalangan yang
menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia. Hal ini dijangkakan
purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi sebaliknya yang berlaku.
Berdasarkan
kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia memberi
kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang kelima terbesar
kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014. Walaupun suatu tahun penuh duka
sengsara yang menyaksikan dunia turut bersedih namun industri pelancongan
Malaysia masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah
RM72 bilion. (Berita Harian Online, 2015).
No comments:
Post a Comment